No love before akad.
Cinta hanya selepas kahwin.
Dan bla bla bla bla bla….
Ayat yang seringkali aku baca, dan sering kali aku dengar.
cinta sebelum nikah itu ada.
Aku kira, yang patut tiada sebelum nikah adalah hubungan
intim seperti suami isteri. Cinta, pada aku, sebelum nikah lagi memang
sepatutnya perlu diwujudkan.
Oh, lainlah kalau definisi cinta kamu, telah kamu rendahkan
dengan menganggap ‘bercinta’ itu adalah ‘bercouple, pegang-pegang tangan,
berhubungan tanpa batas’ dan sekutu-sekutunya.
Maaf. Cinta aku mahal, dan tidak serendah itu.
Sebab itu cinta aku yang mahal itu, wujud sebelum bernikah lagi.
Cinta yang sebenar
Couple itu maknanya cinta? Hubungan intim lelaki perempuan
yang bukan mahram tanpa batasan itu cinta?
Maaf. Jika kamu panggil itu sebagai ‘bercinta’, tandanya
kamu telah menjatuhkan harga cinta. Untuk aku, itu semua bukan cinta. Cinta
adalah suci. Bersih. Dan ianya membawa ke syurga.
Cinta mestilah dibina dari keimanan, dan dicari berlandaskan
petunjuk Allah SWT.
Cinta adalah perasaan, yang wujud di dalam jiwa dan
diterjemahkan dalam bentuk amal.
Menolak sahabat ke dalam api, itu bukan namanya akung
sahabat, walaupun sebelum menolak sahabat itu ke dalam api, sudah 1000 kali
diucapkan: Ana sayang enta, sahabat ana.
Melempar pasangan ke dalam neraka, dengan melanggar
arahan-arahan Allah, itu bukan namanya bercinta. Walaupun kamu sering gunakan
perkataan ‘cinta’ dalam hubungan kamu.
Cinta lebih suci dari apa yang kamu jangka.
Dan ‘cinta’ yang asli ini, tidak sepatutnya diharamkan
sebelum bernikah.
Cinta sebelum kahwin
Kalau benar cinta kepada pasangan kamu, maka kamu akan
menjaga diri kamu dari laranganNya. Kamu tidak akan melempar pasangan kamu ke
neraka dengan mengajaknya bermaksiat kepada Allah SWT.
Kalau kamu benar cinta, kamu akan meminta petunjuk Allah dan
berkira-kira. Kamu akan list pro dan kontra serta muhasabah kembali perasaan
yang hadir di dalam diri kamu. Kemudian bila benar-benar sudah tetap hatinya,
lanjutkan dengan lamaran tanda kamu benar-benar serius. Yang lelaki boleh terus
kepada keluarganya, yang perempuan boleh menghantar wakil untuk bertanyakan
lelakinya.
Tapi pastikan kamu benar-benar siap. Bukan istikharah
semata-mata. Tetapi ada perancangannya juga. Perancangan dunia kamu, dan
perancangan akhirat kamu. Ini kalau kamu benar-benar cinta.
Kamu berhubungan atas perkara yang sangat-sangat-sangat
penting sahaja dan kamu tidak berlengah-lengah dalam meninggalkannya ketika
urusan selesai.
Untuk lelaki, kamu bina hubungan yang erat dengan kedua ibu
bapanya, dan adik beradik lelakinya, untuk berta’aruf dengannya.
Untuk perempuan, kamu bina hubungan yang erat dengan ibunya
dan adik beradik perempuanya, serta saudara mara perempuan yang dia ada untuk
berta’aruf dengannya.
Kamu siapkan diri kamu untuk menjadi suami@isteri yang baik
untuk pasangan kamu. Kamu tekankan pada diri kamu untuk lakukan perubahan
dengan memandang bahawa kamu mesti hendak membahagiakan pasangan kamu
sebahagia-bahagianya. Dan apakah yang lebih bahagia dari mendapat keredhaan
Allah dan masuk ke syurga bersama-sama?
Dan pantaskan urusan perkahwinan kamu. Jatuhkan dengan
segera perkara-perkara yang menghalang perkahwinan kamu dari berlangsung dengan
cepat. Itu satu tanda cinta.
Kalau kamu tanya akan cinta aku.
Maka cinta aku begitulah.
Kamu-kamu yang bercouple dan memusnahkan erti cinta yang
sebenar, aku terkilan dengan kamu.
Kamu-kamu yang bercinta dengan cara yang salah, aku terkilan
dengan kamu.
Hal ini kerana, wujudnya kamu dan kesalahan kamu, membawa
kepada orang-orang tertentu mengharamkan terus cinta sebelum wujudnya
pernikahan.
Kamu-kamu yang mengharamkan terus segala jenis cinta sebelum
nikah, aku juga terkilan dengan kamu.
Islam datang mengajar kita mengawal perasaan. Bukan
menghapuskannya.
Jadi yang halal diharamkan hanya kerana ada yang salah
menggunakannya.
Maka sepatutnya dididik bagaimana untuk bercinta dengan
sebenarnya.
Apakah jika ada orang belajar untuk membuat nuklear dan
mengebom sesebuah tempat, maka ‘belajar’ itu diharamkan dan matapelajaran
‘nuklear’ itu patut diharamkan?
Semestinya tidak.
Apakah apabila Allah menimbulkan rasa cinta di dalam jiwa
seseorang, kamu hendak menyalahkan Allah atas perasaan cinta yang Dia
munculkan?
Maka sepatutnya kamu, membina satu garis yang jelas. Antara
cinta, dan ‘cinta’.
Bukan hanya syok sendiri dengan ‘cinta suci’ buat ‘golongan
kamu’ sahaja.
Aku di sini bukan hendak menghalalkan yang haram. Aku
nyatakan di sini, couple dan segala apa yang Allah larang, untuk aku itu semua
bukannya cinta. Justeru apabila aku katakan cinta, couple tiada kaitan
dengannya. Keluar berdua-duaan tiada kaitan dengannya, bergayut dalam telefon
tiada kaitan dengannya. Sms-sms tak ada makna, atau sms-sms ‘tazkirah bohong’
tak ada kena mengena. Salut-salut nama ‘dakwah’ untuk meng’halal’kan
perhubungan juga tak ada kena mengena.
Cinta yang aku kata ini, bebas dari semua itu.
Aku juga tidak akan sesekali mengharamkan yang halal. Sebab
itu aku berdiri di sini dengan pegangan ini.
Untuk aku, yang halal bila disalah guna, benar ia menjadi
haram.
Maka masalah di sini bukanlah yang halal itu.
Masalah di sini adalah ‘pengawalan’ itu.
Sekelompok manusia yang gagal mengawal, itu bukan bermakna
ia haram untuk semua manusia. Lainlah perkara itu jelasnya haram secara qat’i,
sebagaimana arak. Walaupun mungkin sekelompok sahaja yang mabuk, tetapi ia
tetap haram kepada semua.
Cinta yang hakiki, bukannya arak!
Guruku, mudirku, Ustaz Dahlan Mohd Zain, pernah satu hari
membicarakan hal perkahwinan dan hubungan sebelum kahwin di dalam kelas. Keluar
dari pelajaran kami yang sebenarnya, Fiqh Sirah Nabawi pada hari itu.
Lihatlah antara soalan yang muncul, dan bagaimana
sederhananya jawapan dia.
“Ustaz, boleh ke kata cinta pada tunang kita?”
“Boleh, tapi kena benar-benar dengan cinta yang betul la.
Bukan main-main”
Maka aku terjemahkan ‘benar-benar dengan cinta yang betul,’
itu, adalah apabila ia dipandu keimanan, di atas syara’, dan kena pada keadaan
serta keperluan pengucapan itu. Bukan diucap atas dasar nafsu, atau semata-mata
kerana rindu, atau kerana ingin bermanja-manjaan.
“Ustaz, boleh ke nak jumpa tunang?”
“Boleh, tapi kenalah bawa keluarga sekali. Ajak mak ayahnya
makan bersama ke. Masa tu jumpa la.”
Bukannya tidak dibenarkan berjumpa langsung.
Tetapi ada caranya. Ada ketikanya. Ada adabnya.
Ustaz Dahlan mengajar aku, untuk tidak mengharamkan sesuatu
yang halal, tetapi melihat apakah yang membawa kepadanya menjadi haram, dan
membasmikan masalah itu.
Dan jawapan-jawapannya adalah jawapan yang menyenangkan
jiwa. Lihatlah uslubnya.
“Boleh…” Mendengar jawapan ini terlebih dahulu, jiwa jadi
lapang. Oh, Islam ini tidak berat ya…
“Tapi kenalah…” Dan syarat selepas itu menjadi ringan untuk
dilakukan kerana hendak mencapai ‘boleh’ tadi.
Ustaz Dahlan, secara tidak langsung, menundukkan nafsu pada
kawalan syara’ hanya dengan jawapannya yang mudah itu. Dan jawapannya sesuai
untuk umum. Bukan hanya untuk orang dakwah sahaja, bukan hanya untuk yang tidak
belajar agama sahaja. Jawapannya betul untuk semua.
Dan aku hidup dengannya, menyerap segala didikannya, jadilah
aku sebagai aku.
Dan jadilah cinta aku seperti ini.
Penutup: Kamu, jangan murahkan cinta, dan memandang rendah
kepadanya
Kamu, jangan murahkan cinta dan memandang rendah kepadanya.
Jangan kamu salahkan cinta kerana kesalahan-kesalahan kamu
atau orang lain.
Kalau kamu lemah hendak mengangkat cinta pada yang satu, maka
kuatkanlah dirimu itu. Bukan memandang rendah orang lain, atau meyalahkan orang
lain, yang bercinta dengan cintanya yang betul.
Aku tidak mewajibkan cinta sebelum nikah. Tetapi yang aku
ingin jelaskan di sini adalah, jika ia wujud, maka itu bukan satu kesalahan.
Yang perlu adalah pengawalan agar ia tidak keluar dari definisi cinta yang
sebenar.
Definisi cinta aku adalah = ingin masuk syurga bersama.
Apakah cinta kalau melempar pasangan ke neraka?
Untuk aku, inilah dia kefahaman aku. Inilah dia cinta aku..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan