"sepucuk surat MAHASISWA MALAYSIA"
Cerita sepucuk surat MAHASISWA MALAYSIA yang sedang melanjutkan pelajaran di JORDAN untuk YAB Datuk Seri @Najib Razak
Hasanhusaini, (Ustaz Ihsan Fadhli)
Saya tak pandai menulis surat. Saya hanya pandai bercerita. Blog saya
juga adalah blog cerita. Ini cerita baru, ini pula cerita lama kalau
sudi untuk dibaca. Cerita ini untuk Yang Amat Berhormat Datuk Seri
Memanda Perdana Menteri Malaysia, tanah air saya. Juga untuk mereka
yang sudi menadah telinga dan mata untuk membaca lantas menyebarkannya. Demi agama, bangsa dan negara.
Jumaat akan datang, tinggal beberapa hari sahaja lagi. 28 September
2012. Pada hari itu, Kabinet akan bersidang, Memanda Perdana Menteri
akan membentangkan bajet kewangan bagi tahun 2013. Bajet yang sedia
ditunggu oleh seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa
di Malaysia. 1.3 juta penjawat awam semestinya menjadi orang paling awal
tersenyum sambil mendengar bajet diumumkan untuk mereka. Tapi kami...?
Saya terdengar cerita dari Malaysia, setiap kali beralih tampuk
kepimpinan mahasiswa di IPT dalam negeri, mereka disediakan dengan sut
persalinan lengkap. Saya tak tahu berapa nilainya. Presiden Mahasiswa
Malaysia di Jordan hanya memakai jaket bundle. Majlis Perwakilan
Mahasiswa dalam negeri juga diberikan bajet tahunan untuk memudahkan
proses mereka mengurustadbir hal ehwal ahli di bawah jagaan mereka.
Pejabat operasi disediakan oleh pihak universiti secara percuma malah
berhawa dingin pula. Mereka bermesyuarat dengan tenang, tanpa pening
memikir sumber kewangan untuk mengatur langkah bagaimana ingin menebar
manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Petrol di Malaysia
jauh lebih murah berbanding di Jordan. Kenderaan awam juga jauh lebih
selesa dan terurus berbanding perkhidmatan yang disediakan kepada kami
di sini. Perhubungan di Malaysia sangat efektif. Kami hanya ada bas yang
akan bergerak apabila penumpang penuh.
Datuk Seri, pada
September 2012, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan permohonan
lebih 1300 pemohon ke Jordan. Dari jumlah itu, lebih 1089 bertandang.
Kawan-kawan saya bertungkus-lumus menyambut adik-adik baru yang tak
pernah mereka kenali, tapi cukup mereka sayangi. Rumah dan penginapan
dicari untuk dihuni. Menyewa van dan bas selepas bertengkar dengan
kedegilan arab untuk menyambut mereka di lapangan terbang. Letih dan
jerih mereka tak pernah berbayar, Datuk Seri. Mereka berkhidmat untuk
Malaysia, tanah air yang mereka cinta. Saya hanya tukang cerita,
menyampaikan berita.
Di tempat saya mengaji, Mu'tah University.
Pekan kecil yang dipenuhi debu. Rumah kecil 3 bilik dengan dapur sempit
dan ruang tamu kosong dan tangki air bersih yang terhad perlu disewa
dengan harga lebih RM500. Kebanyakan kami pula datang dengan tanggungan
sendiri selepas mendapat izin dari KPT.
Di pekan kecil ini,
lebih 700 warganegara Malaysia berteduh. Dengan kesedaran tanggungjawab
sosial, sebuah persatuan ditubuhkan untuk memudahkan urusan antara
kerajaan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kedutaan Malaysia
Jordan dan Educatian Malaysia Jordan.
Di Persatuan Mahasiswa
Malaysia Universiti Mu'tah, juga persatuan lain di Jordan, kawan-kawan
saya bekerja tanpa gaji. Kesedaran sosial mereka sangat tinggi. Atas
dasar tanggungjawab, mereka rela menipiskan perut untuk berkhidmat.
Keluarkan duit poket sendiri untuk tambang bas dan isi minyak demi
menghadiri mesyuarat, pertemuan dan taklimat.
Kenapa tak tuntut dari persatuan? Persatuan kami, sangat miskin, Datuk Seri.
Saban tahun, kawan-kawan saya pening, bagaimana ingin dicari sejumlah
wang untuk menampung kos pengurusan persatuan kecil itu. Kawan-kawan
yang pulang bercuti di Malaysia pula, menebalkan muka memanjat lif dan
tangga, menghulurkan surat dan proposal untuk mencari sumbangan dan
derma. Kos pengurusan rumah pejabat di pekan kecil Mu'tah menelan lebih
RM 20000 untuk setahun. Tidak termasuk dengan program jatidiri,
pembangunan mahasiswa, kebajikan dan tanggungjawab sosial yang
dilaksanakan.
Itu di pekan kecil bernama Mu'tah, terletak
berhampiran dengan kota Karak yang masyhur. Di Irbid dan Amman bahkan
Mafraq, kosnya pasti lebih tinggi. Mereka di bandar maju.
Kami
ada idea untuk memacu dan men-transformasi-kan ekonomi pelajar Malaysia
di Jordan, tapi kami tidak punyai dana dan biaya kewangan.
Datuk Seri pernah mengajar kami, anak muda dan mahasiswa adalah aset
penting negara. Mahasiswa pembentuk negara pada masa akan datang. Kami
pula sangat yakin akan peranan kami untuk Malaysia. Atas sebab itu,
meski kami tahu kami akan letih dan sedih, kami tetap berhijrah ke
negeri asing untuk menjana transformasi diri agar lebih maju dan mampu
untuk memacu negara pada masa akan datang.
Datuk Seri, saya
empati kepada nasib mereka, lantas saya menulis. Saya harap, Datuk Seri
turut menaruh simpati kepada kami, rakyat Datuk Seri yang bakal kembali
ke Malaysia, menyambung legasi 1 Malaysia. Justeru, apa salahnya andai
dicelah ratusan billion yang bakal Datuk Seri umumkan pada Jumaat nanti,
selitkan juga barang sejuta dua untuk kami di luar negara. Ianya bakal
meringankan beban kami, agar tidak perlu berletih jerih mencari dana
saban Ramadhan. Moga nanti, masa keemasan dan pengurusan cemerlang hasil
bantuan dan bajet kewangan itu dapat kami tumpukan untuk berbakti
kepada agama, bangsa dan negara.
Datuk Seri, saya bercerita tentang Jordan yang saya kenali, tapi sebenarnya, mungkin seluruh dunia saya wakili.
1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.
Penulis ialah Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia
Jordan, Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah, mantan
Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan Darul Muttaqin, Mu'tah,
Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan