Saya mula mengenali Ustaz Yahya Osman ketika menjadi mahasiswa di UPM
tahun 1980an. Ustaz Yahya seringkali hadir sebagai pembentang kertas
kerja dalam program-program tamrin kampus. Wataknya yang lemah lembut,
penyampaian dan kupasan yang padat dan sarat dengan mesej perjuangan,
keupayaan mengaitkan dengan perkembangan dan realiti politik semasa,
menjadikan sesi beliau sentiasa dinantikan. Pesannya prinsip perjuangan
biar teguh dan kekal namun pendekatannya boleh sahaja berubah. Impak dan
kesannya kepada mahasiswa yang diasuh dan dibimbingnya amat luar biasa.
Pada awal 1994 ketika itu Ustaz Yahya Osman menjadi Exco Kerajaan
Kelantan. Kelantan baru sahaja meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah
dan perdebatan tentangnya cukup panas dan meluas. Saya pula bertugas
sebagai Setiausaha Politik Menteri Undang-Undang Dato Syed Hamid Syed
Jaafar Albar. Ustaz Yahya Osman menghubungi saya minta diaturkan
pertemuan dengan menteri untuk maksud menyampaikan isi kandung enakmen
tersebut. Ustaz Yahya memilih pendekatan bersemuka dan menerangkan
setiap fasal demi fasal darihal enakmen tersebut kepada menteri dan
pegawai-pegawai tinggi kementerian ketika itu. Saya akan sentiasa
mengingati bagaimana Ustaz Yahya yang mengetuai delegasi tujuh orang
mewakili kerajaan negeri Kelantan, menyampaikan penerangan dengan penuh
hikmah dan menjawab persoalan yang ditimbulkan dengan tenang dan
meyakinkan. Nampak kehebatan dan wibawanya sebagai seorang da’ie,
berhujah berdasarkan ilmu dan melihat orang yang belum faham sebagai
sasaran dakwah. Dato Syed Hamid Syed Jaafar Albar kemudiannya menulis
sebuah makalah ringkas “Keadilan di dalam Islam” dan kandungannya banyak
berupa sedutan pandangan-pandangan Ustaz Yahya Osman!
Empat belas tahun kemudian, 2006 saya bertugas sebagai pengurus
Tabung Amanah Tok Kenali kerajaan negeri Kelantan. Fungsi utama Tabung
Amanah Tok Kenali seperti disebut di dalam undang-undang tubuhnya “
..menjalankan program-program pembangunan sumber manusia”. Orang pertama
saya temui ialah Ustaz Yahya Osman untuk meminta pandangan. Ustaz Yahya
Osman seterusnya menjadi tenaga utama dalam program-program latihan
anjuran Tabung Amanah Tok Kenali membabitkan pelbagai segmen masyarakat
Kelantan sepanjang 2006 dan 2007. Setiap minggu – penghulu, imam, belia,
mahasiswa, ahli-ahli majlis, pimpinan masyarakat dihimpunkan dalam
program tiga hari dua malam di Lata Belatan Besut, Kem Desa Mahmud, MADU
dan Putik. Ustaz Yahya Osman menjadi tenaga pembimbing utama. Nasihat,
asuhan dan tegurannya kepada saya secara peribadi akan terus
meninggalkan kesan besar terhadap saya.
Apabila nama saya diumumkan sebagai calon parlimen machang pada Mac
2008, Ustaz Yahya Osman sendiri mengadakan satu majlis di rumahnya di
Labok Machang menghimpunkan semua pimpinan parti dan masyarakat untuk
memperkenalkan saya sebagai anak didiknya yang diasuh sejak zaman
pelajar dan meminta kalangan yang hadir bekerja membantu memenangkan
saya. Seringkali apabila berkunjung ke rumahnya ada sahaja buku terbaru
yang diberikannya kepada saya. Makalah kecil “Pesanan Saidina Ali”
antara rujukan utama pemberian Ustaz Yahya Osman. Tatkala menziarahi
beliau sejurus saya selesai menyampaikan pembentangan kepada tamrin
mahasiswa di Darul Quran, beberapa bulan lepas, Ustaz Yahya Osman
memberitahu hasratnya menulis buku berupa kompilasi kertas-kertas
kerjanya. Tidak pula saya ketahui sama ada hasratnya terlaksana!
Satu ketika awal tahun 2009 saat menemani Dato Seri Anwar ke Mesir
menziarahi Sheikh Mehdi Akif, saya diperkenalkan oleh Dato Seri Anwar
kepada Sheikh Mehdi sebagai Ahli Parlimen dari Kelantan. Masih saya
ingat tatkala Sheikh Mehdi kemudian bertanya balas, “saudara datang dari
Kelantan? Apa khabar sahabat saya Ustaz Yahya Osman?” Sheikh Mehdi
kemudian menceritakan bagaimana mereka ketika usia belia saling
mengenali dan bergiat aktif memperjuangkan isu-isu umat Islam dalam
pelbagai platform belia Islam antarabangsa. Maka fahamlah saya mengapa
Ustaz Yahya Osman muncul sebagai seorang pendakwah dan murobbi yang
sangat dihormati kewibawaanya. Kenalan, jaringan antarabangsa dan
digabungkan pula dengan pengalaman gerakan Islam adalah ramuan nya.
Kelebihan tersendiri Ustaz Yahya Osman ialah penguasaan beliau dalam
bahasa Arab. Dato Seri Anwar sering berseloroh bagaimana Ustaz Yahya
Osman kalau berbicara dalam bahasa Melayu sekalipun lebih banyak
tersasul dan mencampuradukkan dengan istilah-istilah Arab!
Saat saya menulis catatan ringkas ini, Dato Seri Anwar Ibrahim sedang
berada di Jepun. Saya mengirim email kepada beliau memaklumkan berita
kematian Ustaz Yahya Osman. Saya cukup pasti Dato Seri Anwar amat
merasai kehilangan seorang sahabat yang beliau kasehi. Saya pula akan
terus mengingati Ustaz Yahya Osman sebagai seorang guru, murobbi dan
sahabat yang bertanggung jawab besar membentuk pandangan dan pemikiran
saya. Semoga rohnya ditempatkankan Allah swt bersama roh orang–orang
yang beriman. Amin.
~Penulis ialah Ahli Parlimen Machang dan Setiausaha Agung PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan