Sabtu, 26 Mei 2012

"Dakwah bagi para ahli dakwah:"

Dakwah bagi para ahli dakwah:

Muhammad al-Ghazali memberi penerangan istilah dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang menjadi satu keperluan kepada manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap panduan jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.

Dr. Yusuf al-Qaradawi pula, beliau mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan bejihad pada jalan-Nya.

Adam Abdullah al-Auri dalm kitabnya Tarikh al-Dakwah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum menjelaskan bahawa dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus kedalamnya.

Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allah dengan cara-cara tertentu.

Dr. Ra’uf Shalabi menerangkan bahawa dakwah Islamiah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan