Sabtu, 11 Jun 2011

Itu Bukan Jalan Dakwah

سم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Perjalanan sebagai seorang naqib atau naqibah merupakan suatu jalan yang cukup mencabar serta betul-betul menguji ketahanan diri. Seringkali kita sebagai nuqaba' atau naqibat mengharapkan kalau boleh setiap hari, jam bahkan detik, hidup ini sentiasa dalam keadaan yang menyoronokkan dan menggembirakan hati. Apa yang saya maksudkan disini ialah hidup sebagai seorang yang senang, tiada yang marah, semua orang suka, selalu dipuji, selalu dirai, selalu disapa, selalu dihargai dan sebagainya.

Tapi, percayalah wahai nuqaba' dan naqibat sekalian, sebenarnya jalan yang kita pilih bukanlah jalan yang mempunyai sifat-sifat yang sedemikian. Jalan yang kita pilih adalah jalan dakwah dan tarbiyah iaitu jalan yang pasti tidak ramai yang akan melaluinya.

Firman Allah SWT dalam Al-Taubah ayat 42 :

"Sekiranya apa yang kamu seru kepada mereka mempunyai keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya pasti mereka akan mengikutimu, tetapi apa yang kamu seru ini adalah sangat jauh dan terdapat duri kesusahan".

Kadang-kadang hidup kita akan diuji dengan Istiqamah. Itulah ujian yang selalu saya rasai sejak ditaklifkan menjadi naqib membawa usrah sejak daripada sekolah menengah lagi.

Bukan senang untuk istiqamah dalam jalan dakwah. Saya akan senaraikan sebahagian istiqamah yang perlu ketika membawa dakwah dan usrah.

1) Istiqamah untuk menjalankan usrah setiap minggu.
2) Istiqamah untuk mengenali anak usrah.
3) Istiqamah dengan manhaj usrah yang kita sampaikan.
4) Istiqamah dengan mengamalkan ilmu yang dipelajari.
5) Istiqamah dengan pembacaan kitab-kitab ilmu dan ktab-kitab haraki.
6) Istiqamah dengan usaha melebihkan diri berbanding dengan anak usrah.
7) Istiqamah untuk sentiasa berada dalam jalan Nuqaba'.

Ulama' sufi yang haraki sering memberi pesanan bahawa istiqamah dalam keimanan kepada Allah SWT dan menyampaikan agamanya akan menghasilkan 3 perkara sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran.

1) Berani
Iaitu tidak akan berasa takut dengan keimanan dan kerja yang kita lakukan.

2) Ketenangan
Iaitu tidak akan berasa sedih dengan gerak kerja yang kita lakukan.

3) Optimis
Iaitu suatu semangat yang berapi-api oleh kerana dijanjikan dengan balasan syurga yang penuh dengan nikmat.

Wahai nuqaba' dan naqibat sekalian.

Syaitan akan menghasut manusia daripada pelbagai sudut dan keadaan. Kalaulah kita sebagai seorang yang miskin, maka dia akan datang sebagai seorang yang miskin. Kalau kita sebagai seorang ulama' maka dia akan datang sebagai seorang ulama'. Kalau kita sebagai seorang yang berpangkat, maka dia akan datang sebagai seorang berpangkat. Begitu jugalah kita sebagai seorang naqib atau naqibah, pasti dia akan menguji kita sebagai seorang naqib atau naqibah. Waktu itulah kita akan merasakan bahawa "aku adalah seorang yang hebat sebab pandai bercakap, berhujah, dan mencernakan pemikiran. Maka timbullah riya', sum'ah, ujub dan sebagainya.

-Aku hebat sebab mampu membaca kitab-kitab arab.
-Aku hebat sebab mampu berceramah dan memberi tazkirah di hadapan khalayak ramai.
-Aku hebat. Oleh sebab itulah aku dipuji, disanjungi dan disantuni.

Firman Allah SWT dalam Al-A'raf ayat 17 :

"Kemudian pasti aku (syaitan) akan mendatangi mereka (manusia) dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur".

Wahai nuqaba' dan naqibat sekalian,

Ketika kita mengharapkan agar senantiasa dipuji dalam hidup, dihargai, disantuni dan seumpamanya, apakah kita mengharapkan semuanya itu datang daripada jiwa yang tulus, jujur dan ikhlas atau sekadar menyedapkan mata dan telinga? Jika kita mahu pujian dan semua itu hanya sekadar untuk menyeronokkan penglihatan, maka sebenarnya kita telah berjaya meraihnya, bahkan berlebihan.

Tetapi, apabila timbul perasaan-perasan tersebut tersebut dalam jiwa nuqaba' dan naqibat, maka sudah tiba masanya fatrah kefuturan dan fatrah perubahan bukan lagi sebagai seorang naqib dan naqibah. Kerana jalan tersebut tidak menguntungkan aku. Tidak menjadikan aku sebagai seorang yang dipandang mulia.

Selamat tinggal jalan dakwah.
Selamat tinggal jalan tarbiyah.
Selamat tinggal jalan yang penuh dengan duri-duri kesusahan.
Selamat tinggal jalan yang selalu mengalirkan air mata.
Selamat tinggal jalan yang belum pasti kesudahannya.

Saya teringat ketika perbahasan berkenaan ciri-ciri seorang kepimpinan islam, Sheikh mendatangkan contoh sirah Khulafa' ar-Rasyidin sebagai teladan bagi pimpinan. Satu kata-kata yang diucapkan oleh seorang sahabat besar Nabi SAW iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Ucapan pertama beliau ketika menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah umat islam ketika itu…..

"Sesungguhnya aku bukanlah seorang yang paling layak untuk menduduki takhta sebgai seorang khalifah, tetapi aku diberikan taklifan untuk memimpin kamu semua. Maka taatilah aku selagi mana aku tidak menyuruh kamu melakukan maksiat kepada Allah SWT. Dan perbetulkanlah aku sekiranya aku melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT."

Wahai Nuqaba' dan Naqibat sekalian.

Sebenarnya inilah salah satu ciri-ciri kepimpinan islam. Tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang ramai. Sentiasa bersedia untuk ditegur sekiranya melakukan kesalahan. Sentiasa berpegang dengan prinsip dan mauqif demi untuk mencapai hadaf dan matlamat.

Oleh kerana itu, janganlah membina tembok ketahanan diri dengan mad’u yang sentiasa memuji dan menyanjungi kita tetapi pasakkanlah ketahanan diri dengan sifat-sifat para alim ulama' dan sifat-sifat para pejuang Allah SWT. Mereka lansung tidak mengharapkan pujian dan sanjungan daripada orang ramai kerana mereka tahu bahawa…..


Itu Bukan Jalan Dakwah

Wallahu A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan